Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Senior Asisten Komisioner, Datuk Azry Akmar Ayob dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, berkuatkuasa 7 Ogos ini.

Beliau mendahului senarai pertukaran lima pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkann Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Azry Akmar akan mengisi kekosongan jawatan nombor dua Kontinjen Kuala Lumpur itu dengan pangkat Deputi Komisioner Polis.

Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur pada ketika ini diuruskan sementara oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL Senior, Asisten Komisioner Habibi Majinji selepas mengambil alih daripada Komisioner Datuk Yahaya Othman yang dilantik sebagai Ketua Polis Pahang pada Mei lalu.

Azry Akmar merupakan Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Asisten Komisioner Mohd Azani Omar yang kini merupakan Ketua Pegawai Keselamatan/ Pengiring YDPA Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur akan menggantikan beliau sebagai Juruiring YDPA dengan memangku pangkat SAC.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Perlindungan di Jabatan Perdana Menteri, Senior Asisten Komisioner Mat Zani Mohd Salahuddin Che Ali dilantik sebagai Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

SAC Mazleen Mohd Nasir akan kekal di jabatan yang sama dengan jawatan baharu sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Siasatan) bagi menggantikan SAC Mohd Faisal Yahaya.

Faisal akan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri untuk menggantikan Mat Zani Mohd Salahuddin bagi mengisi jawatan Timbalan Pengarah Perlindungan.

Pelantikan kelima-lima pegawai kanan PDRM itu berkuatkuasa 7 Ogos 2023.- MalaysiaGazette