MCA PRN
Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – MCA tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu hari ini selepas mengadakan perbincangan secara mendalam dan analisis.

Menurut beliau, MCA juga mengambil kira situasi politik semasa di mana parti itu akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula.

“Dalam tempoh ini, MCA akan lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa yang sama, Sin Woon memberitahu, MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan membantu calon-calon gabungan itu dalam PRN di enam negeri tersebut.

Beliau turut menegaskan, MCA berpegang teguh kepada falsafah penubuhan parti itu.

“Mana-mana keputusan yang diambil parti haruslah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesederhanaan, kebebasan dan demokrasi di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” jelasnya. – MalaysiaGazette