KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas pagi ini bagi menentukan tarikh penting untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri.
Mesyuarat akan berlangsung di Menara SPR di Putrajaya dan akan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Ia diadakan untuk menentukan tarikh penting PRN bagi Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Perkara-perkara penting itu adalah seperti menetapkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu.
SPR akan mengadakan sidang media sejurus selesai mesyuarat khas tersebut.
Isnin lalu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat khas itu adalah susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.
Beliau memaklumkan, SPR telah menerima notis pembubaran rasmi DUN Yang Ke-14 bagi enam negeri itu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker masing-masing. – MalaysiaGazette