Anwar Ibrahim.-Foto MUHD NA’IM, 12 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan akan dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ditambah baik.

Perkara tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Mesyuarat berkenaan juga memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran Kerajaan.

Satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha Kerajaan adalah bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Mesyuarat berkenaan juga bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera.

Ia bermula dengan LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

Sementara itu peranan KKKMAR akan diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN).

Ia akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.

JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan Badan Berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan.

Had bilangan Lembaga Pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan Badan Berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan juga akan dikaji semula.

Langkah tersebut bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam Lembaga Pengarah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ANWAR IBRAHIM nak istihar harta pun kena buat formula format? benda SENANG buat SUSAH tu apa kejadahnya? hanya perlu buat “KEPUTUSAN” SYARAT dan hantar surat edaran.. jika bukan PERATURAN pun tetapi itu memadai untuk penambahbaik PENTADBIRAN. hal seperti ini Mat Sabu pun boleh buat tak perlu Raja Formula untuk berfikir.

Comments are closed.