Wan Azliana Wan Adnan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia dan sekolah perlu segera siasat dakwaan kes buli yang dihadapi oleh pelajar tingkatan dua yang menjadi suspek kes cekik adik kandung baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) , Wan Azliana Wan Adnan berkata, ia kerana difahamkan bapa pelajar berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung kes buli yang berlaku pada suspek tapi masih tiada tindakan.

Lantaran itu, pihak sekolah harus membantu siasatan polis supaya suspek yang menjadi mangsa kes buli di sekolah diberi keadilan sewajarnya.

Jelasnya, suspek berkenaan pernah memberitahu kepada ayahnya dia dibuli, dicekik ketika tidur, disimbah air, ditumbuk, disepak guna kasut ketika di sekolah.

Akibat dan kesan perbuatan buli tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.

Ini dibuktikan apabila keluarga suspek mengesahkan kejadian remaja ini mencekik bukan kali pertama, malah bapa dan ibunya juga pernah dicekik remaja tersebut.

“Seperti yang kita sedia maklum, saban hari, kes buli di sekolah makin menjadi-jadi hingga ada mangsa yang mengalami trauma yang melampau sehingga bertindak membunuh diri. Kes-kes buli seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia membawa impak yang besar kepada mangsa di mana mangsa akan mengalami trauma yang boleh membawa kepada kemurungan.

“Trauma merupakan sesuatu yang melibatkan emosi seseorang dan ini sukar dilihat secara luarannya. Dalam pengalaman saya sebagai peguam yang mengendalikan kes-kes buli di sekolah, majoriti mangsa-mangsa buli mengalami trauma dan kemurungan. Ada yang murung sehingga terpaksa bergantung pada ubat untuk menenangkan diri. Ada mangsa yang masih meracau waktu malam walaupun kes buli sudah beberapa tahun berlalu. Jadi impak buli ini cukup besar dan boleh memberi kesan berpanjangan kepada mangsa-mangsa buli,” tegas Wan Azliana yang juga seorang peguam.

Mengulas lanjut mengenai kes buli, beliau berkata, sehingga kini masih belum ada peruntukan khusus yang boleh memberikan definisi dan tafsiran yang lengkap, menyeluruh, padu lagi mantap tentang apa yang boleh dianggap sebagai perbuatan buli.

Walaupun Malaysia mempunyai Kanun Keseksaan dan pelbagai peraturan, panduan seperti Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959, serta pekeliling yang berkaitan, namun satu undang-undang anti buli yang khusus masih diperlukan untuk menambah baik dan menguatkan undang-undang yang sedia ada ini.

Undang-undang Anti Buli telah lama dikaji oleh Amerika Syarikat sejak awal 1990, yang mana ketika itu hanya beberapa polisi anti buli diperkenalkan di negara tersebut.

Kini semua 50 daerah di Amerika Syarikat telah mempunyai Akta Anti Buli.

“Negara jiran kita, Filipina juga telah lama menggubal Akta Anti Buli yang dikenali sebagai Anti Bullying Act of 2013. Akta tersebut memperuntukkan semua sekolah rendah dan menengah di negara itu menggunakan undang-undang dan dasar untuk mencegah dan menangani perbuatan buli di institusi mereka

“ASWA telah memulakan usaha untuk memberi cadangan kepada pihak-pihak berautoriti bagi menambah baik undang-undang kes buli di sekolah termasuk cadangan penggubalan Akta Anti Buli. Bagi merealisasikan Akta Anti Buli tersebut, pihak ASWA telah menubuhkan sekretariat penggubalan Akta Anti Buli tersebut yang terdiri dari pakar-pakar yang berkenaan, ibubapa, guru dll. ASWA juga telahpun menandatangani MOU bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) untuk mengubal draf akta anti buli.

“Penggubalan Akta Anti Buli adalah perlu untuk melaksanakan undang-undang tegas terhadap kes-kes buli yang berlaku di Malaysia. Disamping itu perlunya ada penambahbaikan di pihak sekolah dalam menangani jenayah buli di sekolah dan juga cara mengendalikan kes kejadian buli. ASWA berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelajaran mengambil serius mengenai isu buli di sekolah dan universiti dan sama-sama membantu merealisasikan penguballan akta anti buli,” tambahnya.

Wan Azliana berkata, semua pihak harus sedar bahawa buli adalah suatu jenayah yang boleh merosakkan mangsa buli sehingga ada kejadian meragut nyawa.

Oleh itu, buli tidak lagi seharusnya dilihat hanya sekadar masalah disiplin tetapi jenayah berat yang semakin berleluasa. – MalaysiaGazette