Anthony Loke

BALIK PULAU – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memohon peruntukan RM10 juta untuk memperluaskan program MyLesen B2 supaya lebih ramai golongan B40 dapat memiliki lesen motosikal.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, peruntukan itu mampu memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang menerusi program MyLesen B2, iaitu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal).

Kerajaan sebelum ini telah melancarkan program berkenaan melalui MOT menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan peruntukan sebanyak RM2.7 juta di bawah Belanjawan MADANI 2023 yang memberi manfaat kepada 9,000 calon golongan B40 seluruh negara.

“Ia (peruntukan RM10 juta) itu supaya lebih ramai golongan B40 dapat memiliki lesen motosikal secara percuma.

“Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat akan kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan belia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas hadir pada penyerahan lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau.

Pada majlis itu, sebanyak 293 pelajar daripada 12 buah sekolah di daerah Barat Daya yang terdiri daripada kumpulan B40 menerima lesen memandu kelas B2.

Loke berkata program MyLesen B2 itu juga merupakan komitmen dan usaha cakna Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah, selain  melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig.

Katanya, kerajaan berharap inisiatif itu dapat membantu golongan B40 untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 dan melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten serta selamat. – BERNAMA