300 bungkusan diagihkan kepada komuniti di Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI – Kira-kira 300 bungkusan makanan diagihkan kepada golongan sasar di Kota Tinggi sempena Program Komuniti Di Hati Tahun 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail berkata, kesemua bungkusan makanan itu disiapkan secara gotong royong oleh 16 ahli komuniti ibu tunggal Kampung Tanjung Sedili.

 

Kerajaan negeri meneruskan usaha murni membantu meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan harian dan mendidik masyarakat berjiwa cakna serta mengeratkan silaturahim menerusi program itu.

“Bungkusan makanan yang berjaya disiapkan, diagihkan oleh Ketua Kampung Tanjung Sedili, Ali Bathoor Ahmad Ramli dan juga sukarelawan Kampung Tanjung Sedili kepada para penerima yang merupakan golongan sasar.

“Seramai 381 ketua isi rumah menerima manfaat di mana 100 daripadanya adalah miskin tegar manakala 281 dalam kategori miskin menerusi sembilan kampung rangkaian,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Tanjung Sedili hari ini.

Khairin Nisa berkata, sebanyak 6,000 bungkusan makanan diagihkan kepada penerima secara bergilir-gilir sehingga November ini.

Inisiatif tersebut akan dilaksanakan setiap hujung minggu sebanyak 20 kali dengan anggaran 300 bungkusan makanan disediakan bagi satu projek.

“Terima kasih saya ucapkan terutamanya kepada pegawai-pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, ketua kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung selain warga Kampung Tanjung Sedili atas kerjasama untuk menjayakan projek ini.

“Semoga usaha kerajaan negeri ini dapat mencapai objektif dan memberi impak positif kepada Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast