Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – MCA mendakwa istilah gelombang hijau telah direka untuk menakutkan pengundi Cina supaya terus mengundi DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, istilah berkenaan digunakan untuk memaparkan Pas sebagai parti yang akan bertindak kejam.

Beliau mendakwa sound bite gelombang hijau digunakan untuk memaksa masyarakat Cina supaya hanya mengundi DAP dan sekutunya dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

“Gelombang hijau telah diwujudkan untuk menakutkan, mengugut dan memaksa masyarakat Cina untuk terus mengundi DAP dan PH sahaja.

“DAP mahu supaya undi-undi Cina terus dikunciĀ  dengan memomokkan Pas sebagai satu parti yang akan bertindak ganas dan kejam terhadap masyarakat Cina.

“Sementara DAP meningkatkan usaha memancing undi Melayu secara agresif dengan mencuba untuk bermesra dengan masyarakat Melayu atau buy in minda dan undi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, taktik sama telah digunakan DAP terhadap MCA sebelum ini dengan memalitkan parti tersebut sebagai pengkhianat kaum Cina.

Lian Ker mengulas mengenai laporan media berkaitan ucapan Pengerusi DAP Lim Guan Eng baru-baru ini.

“Guan Eng telah menggunakan legenda dan sejarah dari kesusasteraan negeri China untuk mengeksploitasi sentimen dan emosi pengundi Cina.

“Dan inilah taktik yang sama yang digunakan oleh DAP untuk membolot undi masyarakat Cina dengan menyamakan MCA sebagai pengkhianat bangsa,” katanya lagi.

Lian Ker mendakwa DAP adalah sebuah parti yang hipokrit dan tidak mempunyai sebarang perbezaan dengan Pas yang menggunakan mantra ‘undi Pas masuk syurga, undi parti lain masuk neraka’.

Serentak itu, beliau menggesa agar pemimpin DAP tidak terus membelenggu negara dan rakyat dengan mainan politik 3R.

Sebagai sebuah parti yang telah berkuasa, DAP menurut beliau, seharusnya memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan politik yang telah melanda negara.

“Sudah-sudahlah dengan mainan politik ini yang akan merosakkan dan membinasakan semua yang kita bina hingga ke hari ini,” nasihat bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu.-MalaysiaGazette