KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menganjurkan kempen rebat IWK e-Bill Jer! Daftar bil pembetungan secara digital dan dapatkan rebat RM2 dalam bil
pembetungan seterusnya.
Dengan beralih kepada bil elektronik, ia bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran kertas dan kesannya terhadap alam sekitar malah anda dapat menikmati sistem pengurusan bil yang lebih lancar dan terus ke telefon pengguna.
Mulai 1 Julai lalu hingga 31 Disember ini – pengguna yang telah mendaftar e-bil layak menerima rebat yang akan dimasukkan ke dalam bil pembetungan akan datang.
“Rebat ini tidak boleh dipindah milik dan hanya digunakan dalam satu akaun sahaja. Kempen ini merupakan sebahagian daripada komitmen IWK dalam terus menyediakan perkhidmatan yang cekap, seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar,” kata Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dalam kenyataan IWK baru-baru ini.
Menurutnya, dengan mengikut perubahan arus digital, pihaknya mampu meningkatkan kemudahan kepada pelanggan sekali gus dapat mengurangkan impak jejak karbon individu.
“Tiada lagi masalah untuk menyusun timbunan kertas dengan adanya kemudahan pembayaran bil pembetungan elektronik yang lebih cekap,” kata Narendran.
Menurutnya, pendaftaran bagi perkhidmatan e-bil IWK adalah pantas dan mudah. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR
e-Bil pada bil pembetungan Julai – Disember 2023 atau layari www.iwk.com.my/e-bill atau muat turun aplikasi Indah Water pada telefon pintar anda dan ikuti arahan untuk mendaftar.
Selepas mendaftar, pengguna akan menerima bil pembetungan melalui e-mel dan tiada lagi bil kertas.
Selain kempen rebat IWK e-Bill Jer!, IWK turut menawarkan rebat tunai RM2 kepada pelanggan yang membuat pembayaran minimum RM60 melalui TnG eWallet mulai 1 Julai hingga 31 Ogos 2023.
Promosi terhad kepada 20,000 pelanggan pertama sahaja dan bagi menggalakkan pelanggan menerima kaedah pembayaran secara digital, insentif eksklusif tertakluk kepada semua pelanggan yang menggunakan TnG eWallet untuk membayar bil pembetungan mereka.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha IWK untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan kemudahan pembayaran bil. Terima penyata bil hanya di hujung jari dan lalui pengalaman pembayaran yang lebih mudah dengan e-bil IWK.
“Lebih menarik dengan penggunaan aplikasi Indah Water yang memudahkan anda untuk menyemak penyata bil, proses pembayaran yang pantas dan dapatkan maklumat terkini,” katanya.
“Rebut peluang untuk nikmati rebat ini dan sertai kami bagi mengurangkan penggunaan kertas, demi merealisasikan aspirasi bumi hijau,” katanya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini dan langkah pendaftaran bagi e-bil, sila layari www.iwk.com.my. – MalaysiaGazette