Pihak bomba berusaha menyelamatkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 0.8, Jalan Yong Peng–Parit Sulong–Muar.

BATU PAHAT – Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori lima tan di Kilometer (KM) 0.8, Jalan Yong Peng–Parit Sulong–Muar di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Badrulhisyam Loi Abdullah berkata,  mangsa yang memandu kereta Proton Iswara, 62, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu lori berusia 42 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa tersepit di ruangan pemandu. Bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas namun mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Badrulhisyam, kemalangan melibatkan lori yang datang dari arah Parit Yaan menghala ke Yong Peng yang bertembung dengan kereta dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba memasuki laluan lori.

“Kedua-duanya mangsa kemalangan tersebut telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Akibat kemalangan berkenaan, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya/

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.- MalaysiaGazette