TANGKAK – Hampir 10,000 orang berkunjung ke Air Terjun Taman Negara Gunung Ledang sejak kawasan tersebut dibuka semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menikmati keindahan alam semula jadi di lokasi terkenal itu.
“Seperti sedia maklum semua kemudahan-kemudahan telah pun dinaik taraf kerana Taman Negara Gunung Ledang merupakan satu destinasi pelancongan yang utama di Johor.
“Sejak semalam, kita terpaksa terhadkan (kemasukan) kepada kira-kira 2,000 pengunjung sahaja pada satu-satu masa untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan hari ini selepas hadir selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor pada Majlis Perasmian Karnival Gunung Ledang dan Tanah Tangkak 2023 hari ini.
Jelas Raven, kerajaan negeri juga akan menyediakan kemudahan tempat pengecasan kenderaan elektrik dan tapak karavan bagi menambah daya tarikan pelancong.
Orang ramai bagaimanapun diingatkan supaya menjaga kebersihan taman rekreasi berkenaan demi kelestarian dan keselesaan semua pihak.
“Jika boleh kami digalakkan agar pengunjung membawa sendiri plastik sampah bagi menjaga kebersihan. Untuk tempoh semalam sahaja sebanyak 430 kilogram sampah telah dibawa keluar dari tapak rekreasi berkenaan oleh orang ramai,” jelasnya.-MalaysiaGazette