Muhammad Fazreen (kiri) membuat laporan di Balai Polis Timur Barat, Georgetown minta Guan Eng disiasat.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia dan Putra Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang didakwa ada cubaan mewujudkan persepsi buruk terhadap Islam.

Laporan dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Timur Barat, Georgetown kira-kira 8 malam tadi oleh Naib Ketuanya, Muhammad Fazreen Johari.

Dalam laporan itu, pihaknya minta polis mengambil tindakan segera ke atas Guan Eng atau sesiapa sahaja yang cuba melakukan penghinaan dan hasutan terhadap Islam serta orang Melayu.

Kata Muhammad Fazreen, tindakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu melahirkan kebencian antara penganut agama dan kaum di Malaysia selain mencabar Yang di-Pertuan Agong yang merupakan payung kepada Islam di negara ini.

“Pemimpin DAP perlu ingat, selama hampir 66 tahun negara merdeka, Malaysia dipimpin majoriti oleh pemimpin Melayu dan beragama Islam termasuk di negeri-negeri.

“Namun belum pernah ada mana-mana negeri yang dipimpin oleh orang Melayu beragama Islam ini menindas atau menzalimi orang bukan Islam termasuk masyarakat Cina.

“Malah segala hasil mahsul di tanah air ini dikongsi dan diberi peluang kepada orang bukan Melayu untuk meraih pendapatan serta kekayaan, termasuk dari segi agama dan budaya bangsa mereka yang boleh diamalkan secara aman di negara ini,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, malam tadi juga, Guan Eng yang merupakan Pengerusi DAP menafikan laporan sebuah portal kononnya beliau mendakwa, ‘gelombang hijau’ di Pulau Pinang akan mengakibatkan tokong Buddha atau Cina dirobohkan.

Menurut beliau, ucapannya dalam bahasa Mandarin baru-baru ini telah diputarbelit dan laporan portal tersebut adalah tidak benar.

Jelasnya, beliau sebenarnya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

Muhammad Fazreen turut memberi contoh Kelantan yang ditadbir pemimpin Melayu Islam tidak pernah mengusik patung Buddha tertinggi dan terpanjang di Asia Tenggara malah penganut mereka bebas datang dan melakukan upacara keagamaan. – MalaysiaGazette