SEREMBAN – Dua maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), kira-kira 5 pagi ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Kanan Bomba II Shahrudin Mohd Din berkata, setakat ini pihaknya mendapat maklumat terdapat 22 mangsa terlibat dalam kemalangan itu.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang lelaki iaitu pemandu bas dan penumpang seorang wanita Indonesia manakala dua mangsa yang menaiki kereta selamat.
“Kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas pelancong (La Holiday) dari Singapura ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta Proton Wira, punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahrudin berkata, mangsa yang lain belum dikenal pasti kerana telah dibawa ke hospital dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Bernama