kerakyatan anak
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersalaman bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berangkat ke Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2023 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan membenarkan anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara diberi kerakyatan secara automatik tidak seharusnya menjadi isu kontroversi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kontroversi tidak timbul sekiranya pihak terbabit memahami bagaimana pindaan peruntukan undang-undang tersebut dirangka dari awal.

Menurut beliau, konsensus umum telah dicapai khususnya dari segi takrif istilah ‘ibu bapa’.

“Tidak sepatutnya menjadi isu walaupun kepada orang Melayu.

“Malah, dalam bahasa Melayu ‘parents’ bermakna ‘ibu bapa’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di Kuala Lumpur, pagi ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Yang turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Badan Peguam, Karen Cheah.

Keputusan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa warganegara tersebut dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu setelah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar mengumumkan, kerajaan dijangka membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan keputusan tersebut di Dewan Rakyat bulan depan.

Beliau menambah, sebelum itu, kerajaan akan mempersembahkan perkara tersebut kepada Majlis Raja-raja dalam masa beberapa hari lagi.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang tidak mampu mendapatkan peguam untuk membela diri di mahkamah.

Anwar berkata, YGBK selaku penyedia khidmat bantuan guaman terbesar di negara ini sejak 12 tahun lalu telah membantu dan mewakili ratusan ribu orang dalam prosiding jenayah sekali gus mempertingkatkan akses rakyat kepada keadilan.

“Semasa di (Penjara) Sungai Buloh, saya sendiri melihat ramai banduan yang diberikan peluang untuk dibicarakan,” jelasnya.

Beliau juga menyedari bahawa sejumlah kes kecil tertangguh kerana tertuduh tidak diwakili peguam yang dapat mempertahankan dan membela mereka.

“Jadi saya tengok ramai yang tak dapat peluang dapat bantuan guaman,” katanya. – MalaysiaGazette