Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Evon Benadick menyampaikan geran bantuan Pembangunan Koperasi kepada penerima di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Lima koperasi dari zon timur hari ini menerima PinjamanTabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) berjumlah RM13.93 juta dan geran bantuan pembangunan bernilai RM665,000.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan tersebut meliputi bantuan Koperasi Prihatin Rakyat, SCOPE, EFast dan Transfer yang menjalankan aktiviti kredit dan pembelian bangunan.

“Sehingga Disember 2022, terdapat 15,315 buah koperasi di negara ini dengan jumlah keanggotaan sekitar 7.3 juta.

“Sebanyak RM45.5 bilion perolehan koperasi telah disumbangkan kepada pendapatan negara sekali gus membuktikan kepentingan gerakan koperasi kepada ekonomi negara selaku penyumbang ketiga penting selepas sektor awam dan swasta.

“Manakala, jumlah modal syer dan yuran koperasi pula mencatatkan RM17 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM160 bilion,” katanya kepada media.

Bantuan berkenaan disampaikan semasa perasmian pelancaran Sambutan Bulan
Koperasi Kebangsaan (BKK’23) yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan, di sini, hari ini.

Hadir dama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Rusli Jaafar; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Seri
Suriani Ahmad, pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP.

Sementara itu, Ewon berkata, Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) telah mewartakan hari Sabtu minggu pertama bulan Julai di seluruh dunia sebagai Hari Koperasi Antarabangsa dan tahun ini ia disambut pada 1 Julai 2023.

Tambah beliau, gerakan koperasi telah diberi tanggungjawab untuk membantu memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara melalui penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan.

“Sebanyak 172 koperasi terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan yang meliputi aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembekalan input pertanian.

“Situasi ini memperkukuhkan lagi peranan sektor koperasi dalam pembangunan ekonomi negara dan dilihat berpotensi besar sebagai pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif,” ujarnya.

KUSKOP menerusi kerjasama SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) turut melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 pada hari ini.

Pelan ini menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi dan dijangka membawa perubahan dalam mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast