LONDON – Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan kehadiran pemain antarabangsa Korea Selatan, Lee Kang In dari Real Mallorca dengan kontrak selama lima tahun.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pembelian keempat PSG pada jendela perpindahan musim panas kali ini selepas pemain tengah, Manuel Ugarte, pertahanan tengah, Milan Skriniar dan penyerang Marco Asensio.
Sebelum ini, juara Perancis itu turut menandatangani bekas jurulatih Sepanyol dan Barcelona, Luis Enrique selepas memecat jurulatih Christophe Galtier awal minggu ini.
“Amat menakjubkan untuk mampu menyertai Paris Saint-Germain, ia satu daripada kelab terbesar di dunia, dengan menampilkan beberapa pemain terhebat di dunia.
“Saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kang In menembusi pasukan utama di Valencia sebagai pemain sayap selepas membentuk karier sebagai pemain akademi di kelab itu di mana dia juga boleh beraksi di bahagian tengah.
Dia menjaringkan enam gol dalam 39 perlawanan bersama Mallorca musim lalu dan mengumpul 14 penampilan antarabangsa termasuk beraksi dalam semua empat perlawanan Korea Selatan pada Piala Dunia tahun lalu.
Media Korea Selatan pula mendakwa Kang In adalah pengganti kepada Lionel Messi di kelab berpangkalan di Paris itu.
Diayang terlibat secara langsung dalam 13 gol musim lalu telah dikaitkan dengan beberapa kelab ternama Rropah termasuk pasukan La Liga Atletico Madrid dan kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa.
PSG pula tidak pernah dikaitkan dengan pemain itu namun ia mengejutkan apabila kelab itu telah berjaya meyakinkan pemain itu untuk menyertai mereka. – Agensi