Mohd Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membalas kejian pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan cercaan.

Sebaliknya menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof, Anwar membalas dengan tindakan dan budi kepada rakyat.

Menurut beliau, Anwar yang beliau kenali adalah seorang pemimpin yang jiwanya sentiasa ada rakyat.

“Pemimpin PN, setiap kali bercakap selalu memperkecilkan niat baik PMX (Anwar) untuk membantu rakyat miskin. Yang mereka tertarik ialah membunuh karekter dan peribadi PMX. Pelbagai gelaran yang tidak wajar diberikan kepada PMX.

“Sedih mendengarnya, apatah lagi gelaran itu dilontarkan oleh orang yang mendakwa mereka baik dan lebai,” kata Agus.

Tambah beliau, selama tujuh bulan menjadi perdana menteri bermacam yang telah dilakukan oleh Anwar untuk rayat.

Katanya, budi Anwar boleh dilihat melalui peruntukan dan bantuan yang disediakan kepada rakyat.

Poster yang dikongsi Mohamad Agus

Dalam hantaran tersebut, Mohammad Agus memuat naik poster yang menyenaraikan 20 kejayaan Kerajaan Perpaduan dalam tempoh tujuh bulan mentadbir negara.

Menerusi poster berkenaan, antara kejayaan yang disenaraikan termasuk Bantuan Awal Persekolahan daripada RM100 kepada RM150; mewujudkan Bantuan Khas Untuk Pesawah RM250; pemberian keuntungan BERNAS 30 peratus untuk pesawah.

Turut disenaraikan elaun bulanan guru KAFA yang dinaikkan dari RM1,000 kepada RM1,100 serta bantuan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir berbanding RM500 sebelum ini.

Kerajaan juga memberikan e-dompet kepada pelajar dan belia berjumlah RM200 berbanding RM150 sebelum ini serta Bantuan Aidilfitri Penjawat Awam berjumlah RM700.

“Apa budinya? Lihat sahajalah apa yang telah PMX dan kerajaannya buat selama tujuh bulan di Putrajaya. Pada saya terbaik. Terima kasih PMX dan Kerajaan Perpaduan,” kata Mohammad Agus.- MalaysiaGazette