Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan daripada 21 buah syarikat sebanyak RM13.04 juta, hari ini.

PUTRAJAYA — Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM13,040,395.59 daripada 21 buah syarikat pada Majlis Zakat Korporat 2023 di Hotel Everly, di sini, hari ini.

Penyerahan zakat bagi tahun 2022 dan 2023 itu disampaikan wakil syarikat kepada PPZ-MAIWP yang disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, setakat Januari hingga Jun tahun ini, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM59.85 juta dengan 2,373 pembayar.

Beliau pada masa sama mengalu-alukan pembayaran zakat perniagaan dari syarikat-syarikat korporat demi kemaslahatan asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua syarikat-syarikat korporat yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP.

“Di kesempatan ini saya ingin mengajak seluruh syarikat korporat untuk tampil tunaikan zakat perniagaan kerana zakat juga antara salah satu kaedah untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Sebanyak 21 syarikat yang menunaikan zakat perniagaan hari ini adalah Al-Hijrah Media Corporation, Amanah Hartanah Bumiputera (Pelaburan Hartanah Berhad), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Perusahaan Kecil & Sederhana (M) Berhad.

Turut sama berzakat, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., Eiman Travel & Tours Sdn. Bhd., Fibrecomm Network (M) Sdn. Bhd., Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., GNI Pharma Sdn. Bhd.

Selain itu, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd., Institut Jantung Negara Sdn. Bhd., Kenanga Investment Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad.

Prudential BSN Takaful Berhad, Public Islamic Bank Berhad, Sime Darby Property Berhad, Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad juga antara syarikat korporat yang berzakat.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, PPZ-MAIWP juga menawarkan Skim Wakalah atau Pengembalian Semua Wang Zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan.

“Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat sehingga 50 peratus.

“Justeru itu, PPZ-MAIWP menyeru masyarakat Islam khususnya syarikat dan organisasi di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat perniagaan mereka di PPZ-MAIWP bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan termasuk kakitangan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast