Nota terakhir yang ditinggalkan mangsa ditemui oleh polis.

LIPIS – Seorang pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun ditemui mati dipercayai menggantung diri di Benta dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan pihaknya menemuinya tergantung pada tali yang diikat pada lubang angin di dinding simen kira-kira pukul 2 petang.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan oleh bapa saudaranya selepas musykil anak saudaranya tidak pulang ke Raub setelah berkunjung ke rumah orang tuanya di Benta.

”Mangsa merupakan anak saudara pengadu di mana beliau meminta izin untuk pulang menziarah rumah peninggalan orang tuanya di Benta seorang diri pada Sabtu lalu.

”Mangsa telah dijaga oleh bapa saudaranya sejak tiga tahun lalu sebelum bapa mangsa meninggal dunia akibat kanser hidung.

”Manakala ibunya merupakan warga Indonesia telah meninggalkan mangsa, abangnya dan ayahnya sejak beliau berusia setahun lebih lagi,” kata Azli kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, menerusi nota yang ditinggalkan, mangsa mengalami kekecewaan hidup setelah kehilangan ibu bapanya melalui tulisan menggunakan dakwat hitam yang ditemui polis.

Terdahulu Azli berkata, bapa saudaranya menghubungi polis selepas gagal menghubungi telefon bimbit mangsa berkali-kali.

”Polis kemudian menemukan mayat mangsa dan mendapati ada sebuah kerusi ditemui berhampirannya. Berdasarkan hasil pemeriksaan ada kesan lebam kebiruan dari kaki hingga ke tangan mangsa dan kematian mangsa dalam tempoh 24 jam.

Azli berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lipis bagi proses bedah siasat di mana kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast