Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduaan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 11 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir supaya tidak ada mana-mana pihak menyentuh isu sensitif melibatkan raja, kaum dan agama atau 3R.

Anwar berpandangan isu sensitif telah digunakan sehingga ke tahap serius dan telah dibiarkan berlarutan selama berpuluh tahun.

Katanya, jika keadaan berkenaan terus dibiarkan ia boleh merosakkan keamanan negara.

“Negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur-unsur kecil ini yang sangat terdesak untuk membuat apa sahaja hanya untuk mempertahankan kuasa atau mencari pengaruh baru.

“Jadi setakat ini cukup amaran terakhir dari kerajaan, saya selaku perdana menteri tidak ada pilihan kerana desakan daripada kalangan berfikir dan untuk mempertahankan keselamatan negara.

“Ini mengatasi kepentingan kerana orang-orang tertentu yang merasakan kedudukan terlalu tinggi dan hebat tidak mungkin terdakwa atau tercabar,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kecenderungan sesetengah pihak menggunakan isu 3R dalam pelbagai bahasa dalam meraih sokongan pengundi.

Katanya, persetujuan untuk mengambil tindakan itu bukan sahaja dibuat di peringkat parti dan kerajaan tetapi juga dalam perbincangan dengan Raja-Raja Melayu.

Tambah Anwar, Raja-Raja Melayu telah membuat gesaan supaya negara ini diselamatkan daripada kelompok yang sangat terdesak untuk mempertahankan kuasa.

Kumpulan itu, kata beliau, sanggup mengorbankan kepentingan rakyat dan menimbulkan huru-hara dan perpecahan demi kuasa.

Menurut Anwar, beliau telah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis memantau isu tersebut  dalam semua bahasa.

“Kalau pelampau itu orang Melayu atau berpangkat tinggi sekali pun atau dalam bahasa Cina atau Tamil itu bukan persoalan. Kalau langgar peraturan dan undang-undang melanggar perlembagaan dan menyemai bibit perpecahan (tindakan diambil),” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam ini.-MalaysiaGazette