PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR — Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah.

Seorang pengutip sampah warga asing dalam buruan sejak tujuh tahun lalu kerana disyaki membunuh rakan senegara dengan menikamnya di Taman Cahaya, Ampang, di sini pada 5 September 2015 akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditangkap dalam serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 12 tengah malam 23 Jun lalu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun (semasa kejadian) sedang bekerja ketika didatangi suspek seorang lelaki warga asing yang dikenalinya.

“Semasa kejadian juga, suspek dalam keadaan mabuk dan ditegur mangsa supaya keluar. Punca kejadian dipercayai akibat teguran mangsa terhadap suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, mangsa yang ditikam di belakang badan serta tangan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang.

Dalam pada itu beliau berkata, hasil saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Tambah beliau, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dituduh pada 10 pagi Khamis 13 Julai di Mahkamah Ampang,” katanya. -MalaysiaGazette