BR1M
TINGGAL KENANGAN... Najib Razak dipeluk seorang penerima pada Majlis Pelancaran BR1M 2018 Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang. Foto FAREEZ FADZIL, 25 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak empat kali ganda semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyebabkan hutang negara naik ke RM1.5 trilion adalah tidak benar.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, biarpun pelbagai bantuan rakyat dinaikkan atau diperkenalkan ketika itu, defisit kerajaan berjaya diturunkan bagi sembilan tahun berturut-turut sepanjang tempoh Najib menjadi Perdana Menteri sehingga ke kadar 3 peratus pada akhir 2017.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah berpunca daripada perbelanjaan terkawal serta pertumbuhan pendapatan kerajaan dalam keadaan ekonomi yang mantap.

“Sebab itu, hutang negara masa Najib adalah terkawal dan berjumlah RM686.8 bilion pada akhir 2017 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Namun, defisit kerajaan naik semula selepas PRU14,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberi contoh, defisit 2.8 peratus yang dirancang Najib dalam Bajet 2018 telah naik ke 3.7 peratus di bawah kerajaan baharu.

Beliau memberitahu, defisit rasmi bagi 2019 sebanyak 3.4 peratus juga tidak memberi gambaran sebenar.

“Sebab kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu turut menjarah RM54 bilion dividen dari rizab tunai RM176 bilion Petronas yang dibina masa Najib untuk menampung kehilangan sumber cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pelepasan cukai tiga bulan yang diberi mereka,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, sekiranya diambil kira dividen tersebut, maka defisit pada 2019 adalah sekitar 6.8 peratus.

“Jika ingin tahu kenapa hutang negara naik mendadak dari RM686.8 bilion masa Najib ke RM1.5 trilion sekarang maka korang kena tanya pemimpin kerajaan-kerajaan selepas PRU14,” katanya. – MalaysiaGazette