PETALING JAYA – Dua wanita warga Vietnam hari ini dijatuhi hukuman denda masing-masing RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lepas.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang bekerja sebagai tukang urut, Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang, masing-masing berusia 33 tahun selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, pada 6 petang, 27 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Peguam MS Jasmine Faith yang mewakili kedua-dua wanita itu memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya yang merupakan ibu tunggal, telah insaf selain mereka perlu menanggung anak yang masih kecil. – Bernama