Hannah projek
Hannah Yeoh melawat Kompleks Belia dan Sukan Rembau di Chembong, Negeri Sembilan yang masih dalam pembinaan, hari ini. - Gambar: Facebook Hannah Yeoh

SEREMBAN – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu dua projek infrastruktur belia dan sukan di Negeri Sembilan yang dikategorikan sebagai sakit disiapkan segera.

Menurut beliau, projek-projek sakit yang telah diaktifkan semula itu adalah Akademi Pembangunan Belia Malaysia di Port Dickson serta Kompleks Belia dan Sukan Rembau di Chembong.

“Saya telah meminta Pengarah ICU Negeri Sembilan untuk memantau dan menyelaraskan perkara berbangkit antara agensi.

“Saya mahu semua projek tertunggak ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hannah mengulas mengenai lawatan kerjanya ke tapak pembinaan dua projek tersebut, pagi tadi.

Akademi Pembangunan Belia Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan masih dalam pembinaan. – Gambar: Facebook Hannah Yeoh

Projek pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Rembau dengan peruntukan RM27 juta di Chembong bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Pada 21 November 2018, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan ketika itu, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani memaklumkan, projek berkenaan diteruskan.

Difahamkan, pelaksanaan kedua-dua projek tersebut tertangguh apabila pandemik COVID-19 melanda negara. – MalaysiaGazette