Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah dapat berhubung dengan salah seorang daripada 10 rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara negara itu ketika hujan lebat Ahad lalu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia dimaklumkan kesemua mereka selamat.

Kementerian itu berkata, jumlah mereka hanyalah seramai 10 orang dan bukan 12 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dua lagi adalah rakyat China dan British, juga dilaporkan selamat.

“Berikutan perkembangan ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan tersebut ke New Delhi pada hari Khamis, 13 Julai 2023,” ujarnya.

Sekiranya rancangan evakuasi berjalan dengan lancar, kumpulan tersebut dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari yang sama.

“Kementerian ini ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan oleh pihak berkuasa Kerajaan India dalam usaha mengesan kesemua
rakyat Malaysia tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette