sekularisme DAP
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Umat Islam diperintah oleh golongan yang jahat kerana mereka meninggalkan kewajipan berpolitik untuk memilih pemimpin.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa perkara tersebut berlaku sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW.

“Benarlah sabda Rasullullah SAW apabila umat Islam sekarang diperintah oleh mereka yang jahat, suka berbohong, mengambil rasuah dan melakukan berbagai-bagai maksiat yang nyata dan tersembunyi.

“Semua ini kesan daripada umat Islam meninggalkan kewajipan politik memilih pemimpin untuk mendapat kuasa kepimpinan Islam, dalam keadaan bukan Islam pula berlumba-lumba keluar mengundi bagi merampas kuasa politik,” katanya.

Menurutnya, selain beribadat, Allah telah menetapkan salah satu tujuan manusia diciptakan ialah untuk ‘berpolitik’ sebagaimana ayat 30 Surah al-Baqarah.

Abdul Hadi mendakwa, pelbagai penipuan dilakukan bagi mengelirukan umat Islam.

Ini termasuk mengekalkan jenama Islam tanpa kuasa tertinggi dalam Perlembagaan sehingga menyebabkan hukum Allah menjadi lebih rendah daripada hukum manusia.

Tambah beliau, walaupun jumlah umat Islam lebih satu bilion dan mendapat kurniaan yang banyak namun mereka dalam keadaan sangat lemah kerana tiada kuasa politik akibat meninggalkan amanah Allah.

“Mereka diseksa dengan pemerintah yang lemah dan zalim, kenaikan harga barangan keperluan hidup, pengangguran, menjadi pekerja kepada orang lain, dan berbagai-bagai penyakit sosial.

“Sehinggakan, musuh Islam berani membakar kitab suci al-Quran di samping memeras kekayaan bumi dan tenaga kita,” kata Abdul Hadi.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, terdapat perbezaan kerjasama Pas bersama Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang bekerjasama dengan DAP.

Katanya, PN didominasi oleh kepimpinan Melayu Islam dan bekerjasama atas teladan ditunjukkan Rasulullah SAW yang menyatukan bangsa Arab Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Ada pun kerjasama PH bersifat liberal dan pragmatik bersama UMNO yang hanyut meninggalkan dasar perjuangannya sehingga berwala’ kepada DAP yang menjadi parti terbesar.

“Sebuah parti yang ekstrem bersama ideologinya iaitu sekularisme dan Malaysian Malaysia yang terpisah daripada agama dan boleh menghapuskan kepimpinan Melayu Islam,” dakwa Abdul Hadi. – MalaysiaGazette