PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Elaun Madani yang disalurkan kepada pesara kerajaan mulai bulan ini hingga Disember melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, elaun khas itu diberikan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah.
Anwar menambah, dana tersebut memang sudah dimasukkan dalam peruntukan kewangan kerajaan melalui Belanjawan 2023 dan tidak melibatkan amaun tambahan.
“Implikasi kewangan RM1.3 bilion, tetapi ini sudah dimasukkan dalam peruntukan kewangan, bukan ada tambahan.
“Cuma janji kita, tetapi kita tidak boleh bayar maka kita ganti dengan elaun khas iaitu elaun MADANI supaya dia tak rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi memastikan jumlah diterima pesara sama dengan jumlah pencen semasa pada Jun 2023.
Anwar menjelaskan, pemberian elaun Madani itu adalah atas pertimbangan kerajaan bagi menghargai khidmat pesara sebagai penjawat awam dahulu.
Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus berkaitan cubaan mengambil alih Pharmaniaga Berhad pada harga yang rendah melalui seorang pemimpin kerajaan.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan Pelan Strategik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2023-2025 (Mampan 25) di Kuala Lumpur, hari ini. – MalaysiaGazette