Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Beberapa individu yang sangat dikehendaki dalam kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk suspek utama, Low Taek Jho atau Jho Low kini dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain Jho Low, individu lain dalam buruan polis berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd ialah ahli perniagaan, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun berpendirian tegas untuk tidak mahu mendedahkan lokasi keberadaan sebenar suspek kerana tidak mahu menjejaskan taktikal siasatan yang dikendalikan pihaknya.

“Bagaimanapun, kita tidak pernah menghentikan sebarang siasatan melibatkan kes 1MDB ini, kalau bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pun kita sudah tahan sekarang.

“Jadi tidak mustahil yang lain (individu) pun juga kita akan ditahan…beberapa individu masih ada dalam radar kita,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan Jho Low bersembunyi di Macau.

Pada 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut mendedahkan beberapa individu termasuk Jho Low dan suspek lain ‘bersembunyi’ di China. – MalaysiaGazette