Mohd Kamarudin Md Din

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah dan menyita harta hampir RM1 juta menerusi Op Tapis Khas yang dalam tempoh tiga hari, bermula 10 Julai lalu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah itu, pihaknya merampas 202.57 kilogram dan 2,789 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM553,927, termasuk sebatang pokok ganja.

“Dalam operasi tiga hari itu, seramai 4,995 individu telah ditahan dan diperiksa oleh polis manakala daripada jumlah itu seramai 4,718 individu berusia 14 hingga 70 tahun berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Kamarudin, daripada jumlah itu, seramai 2,272 individu adalah penagih termasuk 100 warga asing, dua penjawat awam dan tiga pelajar sekolah diikuti lain-lain kesalahan (1,542 individu), tokan dadah (655 individu ) dan orang yang dikehendaki (249 individu).

Tambah beliau, kesemua yang ditangkap disiasat di bawah lapan seksyen berlainan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana 129 suspek berhadapan dengan hukuman gantung, 233 orang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, tindakan turut diambil dibawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana JSJN telah menyita pelbagai aset penagih yang dianggarkan bernilai RM418,160, termasuk wang tunai sebanyak RM9,760 dan kenderaan bernilai RM408,400 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM972,087.82.

“Operasi yang disertai seramai 2,142 pegawai dan anggota ini melakukan 1,258 pemeriksaan tertumpu di kawasan Felda dan Felcra, pot, perumahan rakyat PPR dan PPRT, jeti nelayan, ladang swasta dan pengkalan haram.

“Objektif utama OP Tapis Khas ini adalah untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah di sekatan jalan raya,memusnahkan sarang menagih dadah dan bertindak ke atas penagih tegar,mengesan dan mencekup individu dikehendaki kes dadah,” ujarnya.

Kamarudin berkata, sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga 3 yang dilaksanakan bermula awal Januari hingga Julai tahun ini, seramai 12,639 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, bagi tempoh sama pihaknya telah merampas 2,304.44 kg dan 3,967.88 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM 22,158,480.20 juta. – MalaysiaGazette