Juwairiya Zulkifli

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) perlu membuat permohonan maaf serta merta susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, tidak wajar fitnah dilemparkan terhadap Institusi Diraja yang berdaulat.

“Tindakan ini merupakan satu tindakan biadab, celupar, dan tidak wajar dalam adab orang Melayu terhadap Raja.

“Institusi diraja adalah berdaulat dan tidak seharusnya dilemparkan dengan tuduhan tidak berasas demi meraih sokongan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, tindakan Sanusi sepatutnya tidak berlaku terutama selepas Sultan Selangor pada 19 Jun lalu pernah bertitah mengingatkan parti politik tidak memainkan isu yang boleh mencetuskan provokasi terutamanya berkaitan agama, kaum dan perkara yang menyentuh sensitiviti.

Jelasnya, semua parti politik sepatutnya berkempen dalam situasi yang harmoni menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya menyeru agar titah DYMM Sultan Selangor ini dihormati dan ditaati sepanjang tempoh berkempen.

Tindakan biadab dan celupar yang ditampilkan oleh Perikatan Nasional dan Datuk Seri Sanusi Mohd Nor tiada tempat di bumi Selangor,” katanya.

Terbaru dilaporkan, polis sedang menyiasat Sanusi sudulan kenyataannya itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka kertas siasatan membabitkan isu 3R (raja, agama dan kaum), pada Rabu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast