Mohd Na'im Mokhtar

PASIR MAS – Kerajaan tidak mahu institusi pengajian pondok dijadikan tempat lambakan anak-anak yang bermasalah, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pendekatan ini diambil bagi memastikan supaya pelajar keluaran pondok adalah berkualiti.

“Kita telah membangunkan garis panduan contohnya dalam konteks pengambilan pelajar pondok. Jadi dengan adanya garis panduan yang seragam atau sama, mudahlah untuk kita memastikan supaya mereka masuk ke pondok adalah benar-benar untuk belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa dan beramah mesra dengan  ulama, guru dan pelajar Pondok Negeri Kelantan di Pondok Lubuk Tapah, di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dan tidak meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak  kepada institusi pondok.

“Anak-anak yang bermasalah perlu dididik dengan betul bermula daripada keluarga, jadi kalau ibu bapa dan keluarga memainkan peranan untuk mendidik anak, tidak akan timbul masalah,” katanya.

Beliau berkata terdapat 1,332 maahad tahfiz berdaftar di seluruh Malaysia, manakala sebanyak 304 pondok berdaftar di negara ini termasuk 50 di Kelantan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya turut menggalakkan agar pondok-pondok di negara ini berdaftar supaya mudah bagi kerajaan memberikan bantuan.

“Kerajaan memberi jaminan untuk memberi bantuan yang diperlukan dan kita mahu memastikan supaya (institusi) pondok terus memainkan peranan mempertahankan Islam dan masyarakat di negara ini,” katanya.

Katanya bagi pondok-pondok berdaftar, anak-anak mudah diawasi, manakala pondok-pondok yang tidak berdaftar pula, tidak ada satu metodologi kurikulum bagi mendidik anak, sekali gus dibimbangi menjadi pusat menyemai bibit-bibit keganasan. -BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast