Seorang pemandu bas dan nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing pada 8 Julai lalu.

GEORGE TOWN – Seorang pemandu bas kilang dan nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memukul seekor anjing pada 8 Julai lalu.

Rosli Mat Zain, 53, dan Suhaili Haron, 49, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut pendakwaan, masing-masing mereka dituduh memukul seekor anjing yang berada dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak dalam daerah Barat Daya dekat sini pukul 8.30 malam, 8 Julai lalu.

Suhaili (baju biru) dan Rosli dibenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tiada peguam mewakili kedua-dua tertuduh.

Ketika prosiding, Jin Hong memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi untuk memastikan kedua-dua tertuduh hadir ke mahkamah selain syarat tambahan mereka perlu lapor diri di balai polis.

Masing-masing mengaku tidak bersalah.

Hakim kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 16 Ogos depan.

Pegawai penyiasat membawa kayu yang digunakan tertuduh untuk memukul anjing berkenaan.

Terdahulu, pegawai penyiasat turut membawa barang kes iaitu sebatang kayu panjang yang dipercayai digunakan dua lelaki itu untuk memukul anjing tersebut.

Media pada 10 Julai lalu melaporkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan menyerang dan memukul seekor anjing yang terjatuh dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung di sini.

Ketiga- tiga lelaki yang bekerja sebagai nelayan, pemandu bas dan ejen kargo berusia 40 hingga 53 tahun itu direman tiga hari sehingga 12 Julai. – MalaysiaGazette