Foto pertemuan secara maya yang dikongsi oleh Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kehadiran Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk ke Malaysia.

Dalam pertemuan secara maya kira-kira 25 minit hari ini, Anwar berkata, Malaysia turut mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat SpaceX di negara ini.

“Turut mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini,” kata Anwar dalam kenyataan.

Menurutnya, Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau net-zero emissions seawal-awalnya pada tahun 2050.

Malaysia juga mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.

Perbincangan itu turut menyentuh penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink.

Anwar berkata, penyertaan tersebut dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” kata Anwar.

Turut menyertai perbincangan yang bermula pukul 9.30 pagi itu adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Tesla sebelum ini dilaporkan akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan pusat pengalaman dan pusat servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas supercharger di negara ini.

Ini selepas MITI meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.

Kemasukan Tesla ke Malaysia telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

Di samping itu, inisiatif yang sama bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia.

Tesla bakal membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia minggu depan.- MalaysiaGazette