Tan Sri Razarudin Hussin. Foto MOHD ADZLAN 22 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah selesai mengambil keterangan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya didakwa mempertikaikan kewibawaan Sultan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar.

Begitu juga siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang bertanggungjawab dalam siasatan isu Agama, Kaum dan Institusi Diraja (3R) telah merakam keterangan daripada ketiga-tiga pemimpin kanan politik tanahair itu di beberapa lokasi berlainan.

Katanya, polis menggunakan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengambil keterangan daripada ketiga-tiga pemimpin politik itu.

“Pasukan Khas 3R USJT telah selesai merakam percakapan daripada Muhammad Sanusi di sebuah hotel pusat beli belah terkemuka di Bangsar seawal 2 pagi tadi.

“Polis juga merakam percakapan daripada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

“Kita juga selesai mengambil keterangan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 3.30 petang semalam bertempat di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Razarudin, kertas siasatan ketiga-tiga pemimpin politik terbabit kini sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin nanti untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, setakat 11 pagi hari ini pihaknya telah menerima sebanyak 31 laporan polis di seluruh negara ke atas Muhammad Sanusi berkaitan isu 3R.

Semalam, Razarudin menerusi sidang media khas di Bukit Aman telah mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Sebelum itu pada Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah.

Selain itu, polis turut menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama lain di Pulau Pinang.- MalaysiaGazette