Salahuddin melancarkan inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare di Paradigm Mall hari ini.

JOHOR BAHRU – Jumlah kerusi Amanah kurang berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri bulan depan bukan masalah utama.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, persefahaman telah pun dicapai iaitu setiap parti terlibat akan bertanding di kerusi dimenangi mereka sebelum ini.

Untuk itu, jelasnya, Amanah tidak mempunyai masalah dengan agihan kerusi antara parti-parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Daripada segi prinsip, kita sudah tetapkan iaitu setiap parti bertanding di kerusi dimenangi mereka, jadi tidak timbul sebarang masalah kerana perkara itu telah diputuskan peringkat kepimpinan tertinggi.

“UMNO memang bertanding lebih banyak kerusi sebenarnya kerana mereka menang banyak, ambil sahaja contoh di Negeri Sembilan, banyak kerusi mereka menang sedangkan Amanah hanya tiga sahaja,” katanya selepas melancarkan inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare di pusat beli belah Paradigm Mall hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) bakal bertanding lebih 100 kerusi dalam PRN enam negeri iaitu kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Salahuddin yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor memberitahu, Amanah dijangka bertanding di lebih 30 kerusi.

“Amanah dijangka bertanding tujuh kerusi di Kedah; sembilan di Selangor; tiga di Negeri Sembilan; tujuh atau lapan kerusi di Kelantan manakala tiga atau empat kerusi di Terengganu,” katanya.

Selain itu, kira-kira 800 jentera Amanah Johor akan digerakkan ke tiga negeri untuk membantu jentera Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SALAHuddin Ayub patut buat pertukaran kerusi DUN KELANTAN dan TERENGGANU diberikan pada ZAHID HAMIDI dan jumlah itu diganti di Negeri SEMBILAN.
    Perkiraan ini AKAN MEMBUKTIKAN UMNO akur dengan kerjasama “sama-sama setuju” jika UMNO menolaknya maka faham-faham DIRI lah Salahhuddin oiii…

Comments are closed.