GEORGE TOWN – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pimpinan Kerajaan Negeri Kedah lemah dalam pengurusan kewangan.
Ia susulan kerajaan negeri yang mentadbir Kedah itu didakwa menggunakan sebahagian peruntukan duit Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi pembangunan negeri tersebut.
Menurut Saifuddin, sebanyak RM1.6 billion diperuntukan menerusi Marris untuk Kedah yang sepatutnya mengikut perlembagaan hanya boleh digunakan bagi aktiviti menyelenggara jalan raya negeri berkenaan.
“Tapi apa Menteri Besar Kedah buat? Dia guna duit itu untuk tujuan pembangunan yang mana secara tidak langsung menyalahi semua tata kelola kewangan kerajaan.
“Dia (Muhammad Sanusi) pemimpin parti Islam, dia patut tahu tata kelola yang betul malah negara ini ada disiplin dalam menguruskan kewangan.
“Malah, berdasarkan ulasan penasihat undang-undang termasuk penasihat negeri perkara itu tidak boleh berlaku (peruntukan Marris digunakan untuk pembangunan negeri) dan akibatnya mereka (kerajaan negeri) menerima teguran daripada Ketua Audit Negara berkaitan kecacatan pengurusan kewangan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang malam tadi.
Tambah Saifuddin, rentetan daripada teguran Ketua Audit Negara, Kedah meminta Menteri Kewangan membenarkan duit Marris dipindahkan ke akaun pembangunan.
“Negeri tersebut mengamalkan konsep ini kerana mereka mendapat kutipan hasil sangat kecil iaitu anggaran RM470 juta. Kenapa ini terjadi? Kerana menteri besarnya sibuk bermain politik.
“Dia (Muhammad Sanusi) cakap benda-benda besar misalnya projek tambak laut di Langkawi, mahu bina lapangan terbang, nak ambil semula Pulau Pinang sedangkan kerja hakikinya adalah menguruskan negeri itu.
“Kalau ini dari segi pentabiran kewangan pegawai kerajaan patut dikenakan tindakan surcaj. Ini baru satu contoh saya akan sebut lagi beberapa perkara lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette