Adly (kanan) merasmikan Majlis Penutup Program Outreach & CSR Perkeso 2023 di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar, Hutan Percha, Alor Gajah, hari ini.

ALOR GAJAH – Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam antara UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah selesai.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, ia selepas kedua-dua parti sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) itu mencapai kesepakatan hasil rundingan peringkat tertinggi Kerajaan Perpaduan.

“Pembahagian kerusi DUN di Selangor sudah diselesaikan, cuma ada permintaan satu dua kerusi keseluruhan daripada perundingan kita.

“Namun secara dasarnya semua rundingan berhubung pembahagian kerusi sudah dimuktamadkan kecuali di beberapa kerusi dan ini akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Program Outreach & CSR Perkeso 2023 di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar, Hutan Percha hari ini.

Semalam, media melaporkan Amanah akan menggantikan BN untuk bertanding di DUN Hulu Bernam menyebabkan timbul pelbagai spekulasi dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Omar Al-Khattab Kasim dilaporkan berkata, semua parti gabungan PH perlu sedar DUN Hulu Bernam yang diwakili UMNO selama ini tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, Amanah setakat ini akan terus bertanding di beberapa kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kerusi yang kita menang macam di Selangor dan Negeri Sembilan, kita ada tiga kerusi manakala empat kerusi di Kedah kekal dan akan digabungkan dengan kerusi baharu,” katanya. – MalaysiaGazette