KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah memeterai perjanjian untuk tidak bertembung di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Perjanjian itu dibuat antara Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Kita tak akan bertindih dalam kerusi yang bakal kita tandingi. Di kerusi yang ditandingi PSM, MUDA tak akan bertanding dan sebaliknya.
“Ini hanya langkah pertama dan kami berharap dapat bekerjasama untuk membawa politik baru yang lebih bersih untuk negara,” kata Syed Saddiq pada sidang media di sini hari ini.
Mereka juga menandatangani kerjasama itu disaksikan pimpinan kedua-dua parti.
Dalam pada itu, kata Michael, kedua-dua parti ingin membawa perspektif baharu dalam PRN dengan tidak menggunakan isu perkauman, retorik demi mencari undi.
“Kita juga berharap kerjasama ini akan terus berkekalan selepas PRN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menambah, kerjasama itu sesuatu yang bersejarah buat kedua-dua parti.
“Kita lihat dalam kalangan dua akar umbi lebih banyak persamaan daripada perbezaan. MUDA akan turun berkempen membantu PSM tidak kira menang atau kalah akan bersama-sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette