Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Pengerusi Parti Sosialis Malaysia PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj menandatangani ketika hadir pada sidang media mengenai Kerjasama antara MUDA dan PSM dalam Pelihan Raya Negeri di Bilik Gerakan Muda, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 15 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan kenyataan berbaur rasis penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halim.

Mohd Najwan sebelum ini membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon parti itu dengan menulis ‘parti India estet’ selepas pengumuman parti itu mencalonkan aktivis sosial, M. Sivaranjani untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru semalam.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar tidak menyangka kenyataan Mohd Najwan terhadap PSM sangat keterlaluan, tidak bermoral serta tidak beretika.

“MUDA secara solidariti menyokong PSM, kenyataan yang dikeluarkan kepada salah seorang calon PSM adalah sesuatu yang tidak beretika dan bermoral. Saya sendiri mengenali calon PSM ini, pada saya beliau adalah antara aktivis yang benar-benar berjuang untuk rakyat.

“Calon ini benar-benar seorang pejuang yang berjuang untuk golongan pekerja terutamanya kumpulan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan, saya nampak sendiri gerak kerjanya. Bayangkan ada suara lantang untuk golongan hidup dalam tekanan apatah lagi memiliki gaji kecil dan pelbagai isu sekeliling mereka.

“Calon ini, Sivaranjani inilah yang banyak berjuang dan bersuara untuk golongan ini. Bukan sahaja beliau sebaliknya keseluruhan parti PSM,” katanya dalam sidang media bersama PSM hari ini.

Mohd Najwan juga tampil membuat permohonan maaf selepas tangkap layar kenyataanya tular sejak malam tadi.

Mohd Najwan berkata, beliau turut menghubungi Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan untuk memohon maaf kepada pimpinan parti itu serta ahlinya yang tersinggung. – MalaysiaGazette