Norliza Abdul Rahim beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Penyampaian Bantuan Pengajian KPT- PTPTN Prihatin, Dewan Seminar A Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi.

SINTOK –  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM81,500 kepada 163 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kurang berkemampuan sekali gus  meringankan beban mereka.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata,  PTPTN komited memastikan tiada pelajar tercicir untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading tanpa dibebani masalah kewangan.

Katanya, dalam usaha meningkatkan akses kepada masyarakat, PTPTN melakukan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat mendapat bantuan sewajarnya.

“Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban dalam tempoh pengajian.

“Setiap pelajar menerima bantuan RM500 yang disalurkan ke akaun masing-masing, jadikan sumbangan ini sebagai dorongan untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai keputusan cemerlang seterusnya mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga untuk menikmati hidup selesa di masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pengajian KPT- PTPTN Prihatin, Dewan Seminar A Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi.

Jelasnya, sehingga 31 Mei 2023 PTPTN telah membantu 3.82 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan sebanyak RM 69.62 bilion jadi beliau menyeru pelajar untuk menunaikan kewajipan membayar balik pinjaman untuk kelangsungan pinjaman kepada generasi akan datang.

“Kos pengajian di universiti semakin meningkat saban tahun oleh itu, penabungan merupakan langkah terbaik untuk membantu pelajar berjaya ke menara gading dan mencapai-cita-cita.

“Kerajaan memperkenalkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tujuan pendidikan dengan menyediakan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai, perlindungan takaful, dividen kompetitif dan geran sempadan,” ucapnya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sebagai sebuah universiti awam yang bertujuan untuk memajukan pendidikan pengurusan serta menjadi universiti pengurusan terkemuka, program yang diadakan haruslah sejajar dengan misi universiti iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global.

Justeru, pelbagai langkah dan usaha yang mampan harus diperhebatkan agar   pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan dapat dibantu dalam aspek pembelajaran mahupun sara hidup di IPT.

“Usaha PTPTN yang sentiasa turun padang mendekati golongan mahasiswa demi menjaga kesejahteraan pelajar seharusnya dicontohi dan bantuan seumpama ini merupakan satu usaha murni dalam meringankan beban kewangan pelajar, memastikan para pelajar terus fokus terhadap pembelajaran sekali gus menjadi modal insan berguna kepada negara,” ucapnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PTPTN di atas bantuan ini yang bukan sahaja meringankan beban kewangan malah  membuktikan keprihatinan KPT dan PTPTN untuk memberi sokongan moral kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi  dalam meneruskan pembelajaran sehingga tamat pengajian. – MalaysiaGazette