Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) belum membuat keputusan muktamad sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya di enam negeri Ogos ini.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ini berikutan dalam mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu semalam masih berbelah bahagi dengan keputusan berkenaan.

“Kita belum lagi buat keputusan muktamad, walaupun sebahagian besar ADT ada yang menyatakan perlu bertanding dan ada juga sebahagian daripadanya menyatakan tidak perlu.

“Bagaimanapun, saya telah minta masa dan akan memanggil balik mesyuarat biro politik atau ADT selepas kita membuat perhitungan yang muktamad.

“Dalam kata lain, tarikh akhir Putra membuat keputusan muktamad bertanding atau tidak ialah pada 23 Julai ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ADT di ibupejabat Putra di sini, petang semalam.

Menurut Ibrahim, sebelum tarikh itu, ada beberapa perkara yang sedang dalam perundingan melibatkan parti itu dengan akar umbi dan pihak berkepentingan.

Katanya, selepas perbincangan dan pertemuan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat biro politik pada 22 atau 23 Julai ini, sebelum memaklumkan pendirian parti itu secara muktamad.

Dalam mesyuarat semalam juga, ujarnya, ADT membuat keputusan semua pimpinan parti perlu bergerak ke hadapan memberi komitmen untuk turun ke lapangan bagi mengukuhkan kedudukan Putra supaya diyakini rakyat.

“Selain itu, Putra perlu secara bersungguh-sungguh membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang bakal diadakan sekurang-kurang empat tahun dari sekarang.

“Tempoh empat tahun ini akan menjadi masa penting bagi Putra untuk membina kekuatan kerana sebelum ini, baik PRN Melaka, Johor mahupu PRU-15, kita menyertainya dalam keadaan yang tidak bersedia.

“Kita terhimpit dengan masa ketika itu, sebab itu kita tidak mendapat sokongan atau kemenangan daripada rakyat. Berbeza dengan PRU16 ini, kita mungkin lebih bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut mengumumkan barisan kepimpinan Putra bagi sesi 2023-2026, termasuk pelantikan ADT yang baharu dan memperkenalkan pengerusi biro, pengarah dan ketua penyelaras.

Pada Persidangan Agung Putra keempat baru-baru ini, beliau kekal sebagai Presiden yang juga Pengerusi Biro Politik dan Agenda Nasional dan Timbalannya, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir sebagai Pengerusi Biro Pengurusan & Penubuhan Bahagian/Cawangan.

Tiga Naib Presiden ialah Datuk Asmawar Samat@Samad (turut dilantik Pengerusi Biro Membasmi Kemiskinan, Pertanian & Aduan Awam), Jeffrus @ Maimin Rijan (Pengerusi Hal Ehwal Sabah & Sarawak) dan Mohd Nasir Abdullah.

Ketua Wira Putra kekal Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Pengarah Program, Jabatan Pilihan Raya & Tugas-Tugas Khas), manakala Ketua Wiranita ialah Laila Norinda Maon dan Ketua Wirawati, Nurhafizah Jamalludin.

Ketua Bahagian Putra Raub, Rosdi Idris dilantik Setiausaha Agung dan Pengerusi Biro Pentadbiran Urusetia; Ketua Bahagian Gombak, Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif (Ketua Penerangan yang juga Pengerusi Biro Penerangan, Penyelidikan & Isu-Isu Semasa); dan Ketua Bahagian Sungai Buloh, Ashraf Rosli (Bendahari yang juga Biro Kewangan & Tabung Dana).

Seramai 15 ADT yang dipilih ialah Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin (Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam & Latihan Kepimpinan), Mohd Nasir Othman (Pengerusi Biro Pendidikan, Pelajaran & Bahasa Kebangsaan), Mohd Fauzi Zulkifli, Hamzah Abd. Rahman, Dr. Zarawi Sulong, Che Mohd Asemari Che Ali, Datuk Kamarul Airi Arifin, Datuk Ramle Mat Daly (Pengerusi Biro Kempen Keahlian), Datuk Mazlan Hashim, Norliza Md. Dewa, Lokman Hakim Abdul Halim, Omar Jaafar (Pengarah Kajian Dasar & Strategi), Nur Amani Ibrahim (Pengarah Komunikasi Media & Digital), Dr. Mohamad Izwan Zainal (Biro Ekonomi & Kos Sara Hidup) dan Mohd Tahir Kassim.

Manakala ADT dilantik ialah Naib Ketua Wira, Muhammad Fazreen Johari (Pengarah Gerak Gempur & Mobilisasi); Naib Ketua Wiranita, Juita Mustafa; Naib Ketua Wirawati, Datin Nur Munirah Abd. Manap; Brig. Jen (B) Adnan Abu Hassan, Zarina Zainal Abidin (Biro Hal Ehwal Undang-Undang, Perlembagaan & Parlimen), M. Azhar Palal dan Mohamad Hashidi Mohd Zin.

Pengerusi Tetap Putra ialah Razali Hussain; Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Dr. Nor Zamshuri Ramli, Pemeriksa Kira-Kira 1, Muhammad Ariq Mohammad Azman dan Pemeriksa Kira-Kira 2, Mohd Eaidy Abdul Hamid, manakala Syed Hassan Syed Ali (Jawatankuasa Disiplin).

Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan, semua kepimpinan baharu itu telah berbincang panjang dan membuat komitmen serta ikrar akan bergerak sebagai satu pasukan berasaskan semangat kesatuan fikrah dengan memegang prinsip ‘Kepimpinan Bersih dan Bermoral’.

“Kita juga berbaiah sesama pimpinan dan berikrar supaya tidak terlibat dengan kegiatan atau perbuatan tidak baik dari segi akhlak kerana Putra memegang teguh kepada prinsip bersih dan bermoral.

“Selain itu, Putra akan menjadikan Pengisytiharan Umat Islam yang dilulus dalam persidangan agung parti baru-baru ini sebagai naratif perjuangan kerana ia merangkumi semua aspek membabitkan kepentingan agenda Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau berkata, pengisytiharan itu mencakupi isu ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, perundangan, Tanah Rizab Melayu, rasuah, LGBT dan semua perkara dalam 10 Perkara Pengisytiharan Umat Islam sebagai dasar perjuangan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast