PERMATANG PAUH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan identiti seorang lelaki China yang ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
Jelas beliau, ia susulan individu itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan ikhtisas Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI).
Saifuddin turut mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman menubuhkan sebuah syarikat berdaftar di negara ini bersama sekumpulan warga China sebelum ada yang menjadi pengarah syarikat tersebut.
“Bolehkah Muhammad Sanusi namakan seorang lelaki warga China yang masuk menggunakan pas Ikhtisas dan kerja dengan MBI di hutan simpan negeri Kedah kemudian dia diberkas (JPNK).
“Bolehkah Muhammad Sanusi senaraikan berapa ramai orang dia restui untuk duduk bersama syarikat yang dianggotai CEO MBI.
“Suruh dia (Muhammad Sanusi) jawab semua ini dulu esok, kalau tak jawab nanti saya dedahkan lagi,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini, hari ini.
Tambah Saifuddin, perkara itu didedahkan supaya Muhammad Sanusi tidak cuci tangan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) yang berlaku di negeri Kedah.
“Dia (Muhammad Sanusi) kata kerajaan negeri, MBI tidak terlibat isu itu (curi REE) tapi orang lain yang curi.
“Malah, pendedahan saya semalam dia heret penjawat awam sekali dalam isu itu. Saya tak mahu jawab kerana dia (pengarah tanah dan galian) bukan orang politik cuma tiada siapa boleh nafikan termasuk pengarah itu ada surat kompaun dihantar kepada MBI.
“Surat kompaun itu wujud bukan dongeng. Sapa curi sapa bayar itu soal nombor dua, faktanya ada surat kompaun dihantar kepada MBI dan itu tak berubah.
“Bila kita serang baru dia sibuk jawab, biar dia jawab satu persatu. Saya akan terus dedahkan sepanjang siri kempen dan ini adalah tema kita patut ambil alih Kedah kerana pentadbiran sekarang lemah dari segi tata kelola atau practice of good governance (amalan tadbir urus yang baik),” katanya.
Semalam Saifuddin mendedahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didenda RM500,000 kerana kesalahan mencuri unsur nadir bumi (REE) tahun lalu.
Saifuddin berkata, denda itu dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ke atas Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah kerana kegiatan yang dilakukan di Sik. – MalaysiaGazette
Saifuddin ni nak title “sorong papan tarik papan” ke? Dedah itu mungkin BENAR mungkin TUDUH mungkin FITNAH. Jangan tunggu soaljawab itu zaman bapa atau atok Saifuddin. Sesi soaljawab serah pada POLIS SPRM MAHKAMAH. Saifuddin ada fakta dan record ke jika ada buat sekali harung. Ini buang masa dan membazirkan DUIT RAKYAT membayar GAJI ELAUN di KDN kerana sibuk dilapangan PENTAS KEMPEN POLITIK.. bila masa nak URUS KESELAMATAN NEGARA? Gila apakah ini sehingga Menteri KEMENTERIAN lain mengatasi MENTERI KEMENTERIAN tersebut seperti berlaku di KLIA. Masuk pejabat buat kerja… rakyat terancam dah ..