SHAH ALAM- DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare) mencatatkan premium 60 peratus ketika dibuka pada 40 sen sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.
Penyedia perkhidmatan perubatan estetik yang mengkhusus dalam penyediaan prosedur tidak invasif dan invasif minimum membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. hari ini.
DC Healthcare yang mengendalikan 13 klinik estetik di wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia itu menyediakan perkhidmatan perubatan estetik seperti ukiran muka dan kontur badan.
Ia juga menyediakan perkhidmatan perubatan am yang memfokuskan kepada penyakit kulit seperti psoriasis dan ekzema, serta pemeriksaan kesihatan ujian darah.
DC Healthcare memperoleh sejumlah RM49.81 juta melalui IPO, yang mana RM9.44 juta diperuntukkan untuk penubuhan lapan klinik baharu di seluruh wilayah utara dan selatan Semenanjung Malaysia.
RM13.12 juta lagi daripada kutipan akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan perubatan manakala RM6.24 juta daripada kutipan itu diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman.
RM17.01 juta lagi daripada kutipan itu diperuntukkan untuk tujuan modal kerja manakal baki RM4 juta telah diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengerusi DC Healthcare, Datuk Dr. Mohd Noor Bin Awang berkata, penyenaraian DC Healthcare menjadi penanda aras sebagai syarikat estetik pertama penyedia perkhidmatan perubatan untuk disenaraikan di Bursa Securities.-MalaysiaGazette