Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan

KUALA LUMPUR – Syarikat usahasama antara Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada mereka.

Menurut laporan portal The Edge Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, (LOI) itu adalah berhubung tender membekalkan kenderaan kepada kerajaan.

Bagaimanapun, kontrak berkenaan ditamatkan selepas tiga bulan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kerajaan menamatkan LOI kami dan memberikan kontrak berkenaan kepada Spanco Sdn. Bhd.

“Kerajaan juga bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lagi (jika dibandingkan dengan bidaan syarikat usahasama itu).

“Kerajaan ingat Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta.

“Sehubungan itu, kami telah memfailkan saman terhadap MOF dan bersedia untuk lawan di mahkamah,” katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Vincent, tender yang dikemukakan syarikat usahasama yang melibatkan 51 peratus pegangan saham Naza dan baki 49 peratus oleh Berjaya, merupakan tawaran termurah di antara semua pembida.

Media sebelum ini melaporkan, kontrak baharu itu dijangka melibatkan pembekalan 12,500 kenderaan dalam tempoh 15 tahun dengan nilai RM300 juta setahun selepas tahun kelima.

Kenderaan-kenderaan itu akan digunakan para menteri, pegawai kanan kerajaan, jabatan serta polis.

Selain Spanco yang dimiliki taikun Tan Sri Robert Tan, pembida lain adalah DRB-Hicom, Samling Group serta syarikat usahasama Naza-Berjaya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast