SEBERANG PERAI – Polis sedang memburu seorang banduan tempatan terlibat kes dadah yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam berkata, pihaknya menerima laporan daripada warden Penjara Jawi kira-kira pukul 3.56 petang berhubung tahanan,i sebagai Nordin Ahmad, 54, melarikan diri dari hospital berkenaan.
Difahamkan, suspek dalam tahanan reman atas kesalahan dadah itu hilang dari wad kuarantin tibi hospital berkenaan antara pukul 1 hingga 2 petang.
“Ketika meloloskan diri, tahanan itu memakai seluar pendek berwarna hitam serta baju-T kelabu.
“Sebaik menerima laporan itu, kami melancarkan Op Tutup serta menggerakkan semua elemen di seluruh daerah untuk mengesan dan menangkap semula tahanan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ah Thiam, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M. Karthik di talian 016 697 0009 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette