KUALA LUMPUR – Polis memulakan berhubung dakwaan seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki di kediaman mereka di Ampang Jaya, di sini, pada 4 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu laporan polis berkaitan dakwaan tersebut diterima dan siasatan dilakukan mengikut Enkuiri Polis (KEP) terhadap orang hilang.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa berkaitan hak manusia, Human Rights Watch (HRW), mendedahkan bahawa Thuzar Maung, 46, suaminya, Saw Than Tin Win, 43, anak perempuan, Poeh Khing Maung, 16, serta dua anak lelakinya, Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17 disyaki diculik kira-kira jam 4.30 pagi, 4 Julai lalu.
Pengarah HRW Asia, Elaine Pearson berkata, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan terdapat keterangan saksi.
Menurutnya, HRW bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang didakwa diculik dalam operasi terancang dan meminta kerajaan Malaysia mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka.
Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015 sebelum dia dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia. – MalaysiaGazette