Fuziah (dua dari kiri) pada Program Jualan Rahmah Bergerak.
Fuziah (dua dari kiri) pada Program Jualan Rahmah Bergerak di Pulau Pinang hari ini.

PENAGA – Orang ramai diminta tidak panik dengan dakwaan berlaku kenaikan harga barang sehingga 20 peratus menjelang Ogos nanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, dakwaan itu hanya membabitkan pihak industri yang mempunyai kepentingan dalam keuntungan dan ia bukan kenyataan daripada kerajaan.

Beliau juga menegaskan kerajaan akan memainkan peranan dengan memastikan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dilaksanakan bagi mengawal harga barangan.

“Jadi kita kena sedar bahawa industri ini memang lah tujuan mereka untuk mendapat keuntungan jadi sebab itu saya nak nasihatkan kepada rakyat bahawa jangan panik dengan announcement (pengumuman) daripada industri kerana siapa yang merupakan pemegang taruh yang penting di dalam menentukan harga.

Supply and demand (bekalan dan permintaan) dalam Malaysia ini antaranya ialah pengguna. Ya, industri ada juga peranan tetapi pengguna itu lebih besar peranannya.

Fuziah melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 yang diadakan sempena Program Jualan Rahmah Bergerak di Penaga, Pulau Pinang hari ini.

“Justeru, saya nasihatkan rakyat agar tidak membuat pembelian panik kerana ia akan meningkatkan permintaan barang sekali gus mencetus kenaikan harga,” katanya selepas membuat pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan.

Pada majlis sama, Jualan Rahmah Bergerak juga dilakukan dan ia  mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar apabila barangan dapur dijual pada potongan harga sehingga 30 peratus.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pemain industri mendakwa akan berlakunya kenaikan harga barang sebanyak 20 peratus bermula Ogos dan September tahun ini.

Rata-rata mendakwa inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia menjadi faktor kenaikan harga barangan.

 

Dalam perkembangan sama, Fuziah berkata, KPDN menyasarkan sehingga 6,400 Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara hingga hujung tahun ini. – MalaysiaGazette