Young Syefura Othman. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Pegawai Khas Ahli Parlimen Bentong, Noor Suhana Ishak membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (IPD) Bentong pada semalam berhubung aktiviti scammer dan kenyataan berbaur seksis terhadap Young Syefura Othman.

Young Syefura berkata, laporan tersebut dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada semua pelaku jenayah penipuan serta gangguan seksual.

“Pada 17 Julai 2023 Pegawai Khas saya telah IPD Bentong mengenai kejadian penipuan atau scammer yang telah menghantar mesej melalui Instagram mengaku bahawa beliau adalah wakil kepada saya untuk penganjuran program menjana pendapatan.

“Manakala laporan polis kedua adalah terhadap pempengaruh yang telah menggeluarkan kenyataan seksis dan berunsur lucah yang saya anggap adalah satu gangguan seksual terhadap saya di dalam satu video beliau yang dimuat naik ke akaun TikTok dan Instagram beliau. Video itu kemudian tular dan telah dikongsi oleh banyak pihak lain,” katanya.

Menurutnya, pempengaruh tersebut menyebut beberapa perkataan lucah berserta lenggok bahasa badan yang telah dimuat naik dalam video menyebabkan beiau berasa tidak selesa.

Tambah Ahli Parlimen Bentong yang dikenali Rara, kenyataan seksis dan gangguan acap kali dihadapi kaum wanita dan ia perlu dihentikan.

”Saya terbuka jika ada yang mempertikaikan pandangan dan idealogi politik saya. Setiap daripada kita berhak mempunyai pandangan masing-masing.

”Namun apa yang telah dilakukan oleh pempengaruh ini adalah satu serangan peribadi kepada saya dan juga ia berbaur lucah yang menjejaskan reputasi dan kehormatan saya sebagai seorang wanita dan Ahli Parlimen,” jelasnya. – MalaysiaGazette