JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang remaja lelaki yang disyaki menyimbah cat pada rumah dan kenderaan milik individu yang dipercayai membuat pinjangan daripada Ah long awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan di Taman Ehsan Jaya, di sini, dalam satu serbuan jam 2 pagi.
“Penahanan suspek dibuat selepas menerima laporan polis dari seorang lelaki berumur 48 tahun berkaitan kejadian simbah cat merah di pintu pagar rumah dan dua keretanya di kawasan perumahan Taman Desa Jaya jam 10.30 pagi kelmarin.
“Semasa serbuan remaja itu ditahan bersama barang rampasan sebuah motosikal, dua plat nombor pendaftaran kenderaan, dua tong bekas cat merah, sehelai baju, seluar, selipar dan bag berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Raub, pihaknya berjaya menyelesaikan lima menyimbah cat ke kediaman dan kereta pelanggan Ah Long dengan tertangkapnya remaja tersebut.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. – MalaysiaGazette