Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGE TOWN –  Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan semua ahli politik khususnya beragama Islam agar tidak mencerca, maki hamun serta memfitnah pihak yang mempunyai perbezaan pegangan politik ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) nanti.

Jelas beliau, semua ahli politik perlu menggunakan pendekatan berhemah ketika berkempen di enam negeri yang terlibat dalam PRN15 untuk menarik sokongan pengundi terhadap parti masing-masing.

Kata Wan Salim, perbezaan fahaman politik adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya menjadi senjata untuk memecahbelahkan umat Islam sebagai saudara seaqidah.

“Sempena dengan musim pilihan raya enam buah negeri yang semakin hampir tiba, saya mengajak semua ahli politik supaya menggunakan pendekatan sederhana dan berhemah dalam menjalankan kempen untuk menarik sokongan pengundi terhadap parti masing-masing.

“Berkempenlah secara bersopan dengan memelihara adab dan akhlak yang baik, jangan mencerca, maki hamun dan memfitnah mana-mana individu hanya kerana perbezaan pegangan politik.    

“Malah, secara khusus bagi ahli politik beragama Islam, saya suka memperingatkan supaya tidak bersikap ekstrim dan terlalu taksub,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, Wan Salim turut mengingatkan agar tidak mendoakan kebinasaan ke atas sesama saudara seagama atau antara sesama saudara senegara walaupun berbeza agama.

“Contohnya doa yang dipanjatkan Nabi Muhammad SAW dalam peperangan al-Ahzab yang mana doa itu bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya ‘genoside’ atau musnahkan sama sekali kaum musyrikin yang berpakat melancarkan serangan secara bersekutu ke atas masyarakat Islam pimpinan Rasulullah SAW di Madinah.

“Namun ketika ada sahabat yang meminta Nabi Muhammad SAW mendoakan kehancuran ke atas kaum musyrikin kerana tidak tahan lagi dengan penindasan yang dihadapi semasa perangan al-Ahzab, Baginda menyahut bahawa dirinya tidak diutus sebagai seorang pelaknat, tetapi sebagai pembawa rahmat.

“Justeru, tidak wajar bagi seorang Muslim mendoakan keburukan ke atas saudaranya semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Perbezaan ini adalah tabi’i iaitu sama dengan perbezaan bentuk badan, warna kulit dan rupa paras yang mesti diterima seadanya sebagai ketetapan daripada Sang Pencipta,” katanya.

Tambah Wan Salim, semua pemimpin perlu berpolitik secara matang sebagai masyarakat bertamadun dan yang mendokong sistem demokrasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast